Thursday, August 27, 2009

~Gaya Bahasa KOMSAS, Nada (Sajak), Rima Akhir dan Bentuk dalam Sajak~

Senarai Gaya Bahasa KOMSAS

1. Anafora -Pengulangan kata pada awal baris
Terbang kenanga terbang pohon
Terbang burung sering dipohon

2. Responsi -Pengulangan kata pada tengah-tengah baris
Sayang indah pergi Johor
Dia yang kupinta pergi datang

3. Epifora -Pengulangan kata pada akhir baris
Sayang Salmah hatinya pedih
Teruja sakitnya hati pedih 

4. Repitasi / Repitisi -Pengulangan kata pada baris yang sama
Pergilah sayang pergi jauh
Hati ini hati yang dilukai

5. Simplok -Pengulangan kata pada awal dan akhir baris yang sama
Sayang seribu kali sayang
Hanya aku yang kau kenali

6. Sinkof / Sinkope -Penggunaan singkatan kata
Ku, mu, mau, tak, nak, mak

7. Metafora -Perbandingan secara tidak langsung atau kiasan atau perbandingan yang mempunyai dua kata yang berisi konkrit dan abstrak.
Bukit-bukit harapan
*Bukit ( unsur konkrit)
*harapan ( unsur abstrak)

Hatinya mengalir sungai duka
*sungai (unsur konkrit)
*duka (unsur abstrak)

8. Simile -Perbandingan atau kiasan secara langsung yang bersendi laksana, seperti, bak, umpama, bagaikan dan sebagainya
Seperti kolek terdampar di pasir
Bagai buih kecil di air

9. Personifikasi -Penggunaan unsur kemanusiaan terhadap unsur bukan manusia
Kebosanan menggigit pangkal rasa
*kebosanan bukan manusia, kebosanan tidak boleh menggigit.

10. Hiperbola -Penggunaan unsur yang melampau
Cinta kepadanya cinta jutaan bunga-bungaan
*manusia tak mungkin dapat cinta akan berjuta-juta bunga

Sekarang Kumpulkan tenaga raksasa
*manusia tak mungkin dapat mengumpulkan tenaga seperti raksasa

Seribu tahun kembali juga
*manusia tak mungkin berjumpa selepas seribu tahun

11. Hybrid-Penyatuan dua kata menjadi satu kata
Bertanggungjawab
*Tanggung + jawab

Ketidakpastian
*Tidak + pasti

12. Inversi- Pembalikan kata
Aduhai adinda berpesan adik
*Sepatutnya ditulis Aduhai adinda adik berpesan

13. Paradoks -Penggunaan unsur positif dan negatif dalam satu baris puisi
Menangis dalam kegembiraan
*Menangis – unsur negatif
*Kegembiraan – unsur positif

14. Asonansi -Pengulangan bunyi vokal
Aduhai malang Pak Kaduk
*pengulangan huruf vokal "a"

15. Aliterasi- Pengulangan bunyi konsonan
Ayamnya menang kampung tergadai
*Pengulangan huruf konsonan "m"

16. Imejan -Penggunaan unsur alam
Sungai, laut, bukit, tasik

Nada dalam sajak

Melankolik -sedih
Patriotisme -Cinta akan negara
Sinis -Mengejek / menyindir
Romantis/Romantik -Kegembiraan / kebahagiaan
Protes -Membangkang
Ironi -Keadaan yang menunjukkan penentangan
Ode / Oda -Memuji atau menyanjung

Rima akhir

Sajak -Bebas
Syair -a,a,a,a
Pantun -a,b,a,b

Bentuk dalam sajak

Distikhon -----Dua baris setiap rangkap
Terzina -----Tiga baris setiap rangkap
Kuatren -----Empat baris setiap rangkap
Kuantren -----Lima baris setiap rangkap
Sestet -----Enam baris setiap rangkap
Septet -----Tujuh baris setiap rangkap
Oktaf -----Lapan baris setiap rangkap
Soneta -----Empat belas baris setiap rangkap

Sampah-sarap atau sampah sarap? Saya jawab!

Kebelakangan ini, ramai pengguna bahasa sering keliru dengan penggunaan sampah-sarap dan sampah sarap. Baiklah, biar saya terangkan perbezaan maksud antara dua perkataan ini!

Menurut Kamus Dewan, makna "sampah" adalah seperti yang berikut:

1. sampah
benda-benda yg dibuang, kotoran (daun-daun kering, kertas-kertas kotor, dll), sarap; ~ sarap bermacam-macam sampah; 2. sesuatu (benda atau orang) yg tidak berharga atau berguna; ~ dunia = ~ masyarakat orang yg hina;
Selain itu, perkataan "sarap" pula bermakna:

1. sarap
sampah (daun-daun kering, debu, dll): dia mengibas-ngibas ~ ke tepi dinding dgn kain; sampah ~ berbagai-bagai sampah;
Oleh hal yang demikian, perkataan yang mempunyai makna yang sama tidak memerlukan tanda "sempang" atau "-". 

Lihat beberapa contoh perkataan yang tidak mempunyai tanda "-" kerana bukan kata ganda.

(i) bukit bakau (betul)
*bukan "*bukit-bakau" kerana bakau dan bukit sama makna

(ii) bukit bukau (betul)
*bukan "*bukit-bukau" kerana bukit dan bukau sama makna

(iii) bersatu padu (betul)
*bukan "*bersatu-padu" kerana bersatu dan padu sama makna

(iv) kasih sayang (betul)
*bukan "*kasih-sayang" kerana kasih dan sayang sama makna

(v) bersangkut paut (betul)
*bukan "*bersangkup-paut" kerana sangkut dan paut mempunyai makna yang sama

(vi) sanak saudara (betul)
*bukan "*sanak-saudara" kerana sanak dan saudara sama makna

Wednesday, August 26, 2009

Kesalahan yang KERAP Dilakukan

*Jawaban dalam warna UNGU

1 para guru-guru
para guru / guru-guru

2 satu setengah jam
satu jam setengah

3 tiap pelajar
setiap pelajar / tiap-tiap pelajar

4 daripada sekolah
dari sekolah

5 sejak dari semalam
sejak semalam / dari semalam

6 demi untuk ibu bapa
untuk ibu bapa / demi ibu bapa

7 beberapa penjahat
beberapa orang penjahat

8 koleksi lagu-lagu
koleksi lagu / lagu-lagu

9 sesetengah daripada kek yang dipotong
setengah daripada kek yang dipotong / sebahagian daripada kek yang dipotong

10 video cakera padat
cakera padat video

11 kain batik sutera
kain sutera batik

12 ahli jawatan kuasa
ahli jawatankuasa

13 membuang sampah-sarap
membuang sampah sarap

14 bergantung kepada guru
bergantung pada guru

15 beralaskan dengan bantal
beralas dengan bantal / beralaskan bantal

16 persahabatan di antara Rushi dengan Rani
persahabatan antara Rushi dengan Rani

17 semangat berkerjasama
semangat bekerjasama

18 rakyat yang bersatu-padu
rakyat yang bersatu padu

19 saling hormat-menghormati
saling menghormati / hormat-menghormati

20 deretan kedai-kedai
deretan kedai / kedai-kedai

21 kawasan pendalaman
kawasan pedalaman

22 kawasan pengairan di Selat Melaka
kawasan perairan di Selat Melaka

23 melawat ke negeri Sembilan
melawat ke Negeri Sembilan

24 menghadiri ke majlis
menghadiri majlis / hadir ke majlis / menghadirkan diri ke majlis

25 menghadiahkan ibu sebentuk cincin
menghadiahi ibu sebentuk cincin / menghadiahkan sebentuk cincin kepada ibu

26 memasak nasi
menanak nasi

27 mengunakan ilmu dan pengetahuan
menggunakan ilmu dan pengetahuan

28 menggelakkan diri daripada gejala sosial
mengelakkan diri daripada gejala sosial

29 kebanyakkan fail di pejabat
kebanyakan fail di pejabat

30 pertunjukkan amal
pertunjukan amal

31 negara yang aman-damai
negara yang aman damai

32 gugusan pulau-pulau
pulau-pulau / gugusan pulau

33 pemainan traditional
permainan tradisional

34 masalah yang serious
masalah yang serius

35 golongan cendikiawan
golongan cendekiawan

36 memberi banyak faedah
memberikan faedah yang banyak / banyak memberikan faedah

37 golongan pelajar-pelajar
golongan pelajar / pelajar-pelajar

38 wajar dilakukan oleh kita
wajar kita lakukan

39 penyalah gunaan dadah
penyalahgunaan dadah

40 menjadi orang yang baik
menjadi insan yang baik / menjadi manusia yang baik

41 jangan sesekali kita membuat jahat
jangan sekali-kali kita berbuat jahat / jangan sekali-kali kita membuat kejahatan

42 Kadang kala, ibu saya garang.
kadangkala, ibu saya nampak garang

43 Barang kali, lelaki itu sesat jalan.
barangkali, lelaki itu sesat jalan

44 Walaubagaimanapun
walau bagaimanapun

45 sejak akhir ini
sejak akhir-akhir ini

46 Justeru itu, masalah ini mestilah diselesaikan.
Oleh itu, masalah ini mestilah diselesaikan

47 Bapa menghadiahkan ibu sebentuk cincin
Bapa menghadiahkan sebentuk cincin kepada ibu / Bapa menghadiahi ibu sebentuk cincin

48 barisan hakim-hakim
barisan hakim / hakim-hakim

49 telah mereka sediakan
telah disediakan oleh mereka

50 pintu konkrit gerbang
pintu gerbang konkrit

51 mini kalkulator
kalkulator mini

52 Pasaraya Jusco
Pasar Raya Jusco

53 Persatuan Ibu Bapa Dan guru
Persatuan Ibu Bapa dan Guru

54 Melaka Bandaraya Bersejarah
Melaka Bandar Raya Bersejarah

55 Kesimpulanya, masalah ini mesti diselesaikan.
Kesimpulannya, masalah ini mesti diselesaikan.

56 Oleh yang demikian, guru pendidik bangsa.
Oleh hal yang demikian, guru pendidik bangsa.

57 rambut kerinting
rambut keriting

58 membeli olih-olih
membeli oleh-oleh

59 pemadam besar getah
pemadam getah besar

60 karangan contoh cemerlang
contoh karangan cemerlang

61 sampel merah darah
sampel darah merah

62 diluar jangkaan semua
di luar jangkaan semua

63 sekawan gajah-gajah
sekawan gajah / gajah-gajah

64 sembilan orang adik beradik
sembilan orang adik-beradik

65 ilmu mempertahankan diri
ilmu pertahanan diri / ilmu yang dapat mempertahankan diri

66 lima setengah tahun
lima tahun setengah

67 segerombolan perompak-perompak
segerombolan perompak

68 membina jatidiri bangsa yang utuh
membina jati diri bangsa yang utuh

69 sudah terhantuk baru terngadah
sudah terhantuk baru tengadah

70 sesetengah remaja-remaja
sesetengah remaja / setengah-setengah remaja

71 setiap-tiap warga sekolah
setiap warga sekolah / tiap-tiap warga sekolah

72 sebuah sungai yang panjang
sebatang sungai yang panjang

73 beberapa buah kelas-kelas
beberapa buah kelas

74 di dalam mesyuarat agung
dalam mesyuarat agung

75 pada masa kini
Kini / pada masa ini

76 membeli baju baru
membeli baju baharu

77 sekelompok murid-murid
sekelompok murid / murid-murid

78 membeli alatulis
membeli alat tulis

79 melukis gambarajah
melukis gambar rajah

80 mewujudkan usahasama antara peniaga
mewujudkan usaha sama antara peniaga

81 dimana ada kemahuan, disitu ada jalan
di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

82 dihantar oleh kita
kita hantar

83 Kesalahan itu telah adik lakukan.
kesalahan itu telah dilakukan oleh adik

84 sekaligus
sekali gus

85 sekumpulan ahli-ahli sains
sekumpulan ahli sains / sekumpulan saintis

86 kemeja T
baju kemeja-T

87 semangat anti penjajah
semangat antipenjajah

88 berjiwa cintakan negara
berjiwa cinta akan negara

89 kerosakkan kereta di lebuh raya
kerosakan kereta di lebuh raya

90 mengamalkan urusiaga yang halal
mengamalkan urus niaga yang halal

91 mengadakan pilihanraya umum
mengadakan pilihan raya umum

92 senarai nama-nama
senarai nama

93 setia-setiausaha menteri kabinet
setiausaha-setiausaha menteri kabinet

94 urusetia program motivasi
urus setia program motivasi

95 penyanyi professional
penyanyi profesional

96 stesen keretapi
stesen kereta api

97 berkunjung ke Bandaraya Kuala Lumpur
berkunjung ke Bandar Raya Kuala Lumpur

98 memilih ahli jawatan kuasa
memilih ahli jawatankuasa

99 segerombolan tentera negara
segerombolan pengganas / seangkatan tentera negara

100 pengaruh media masa
pengaruh media massa

Walaupun kesalahan-kesalahan disenaraikan di atas kelihatan amat senang, tetapi ramai pelajar masih melakukannya secara BERLELUASA dalam karangan mereka termasuklah sebilangan kecil guru-guru di sekolah. Oleh itu, berhati-hatilah kesalahan-kesalahan ini! 

MAJU JAYA!

#3 Karangan A1

Tajuk: Peranan Ibu Bapa Dalam Mengurangkan Gejala Sosial

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Sejak akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang menerusi dada akhbar. Isu ini menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. Antara penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, buli dan ponteng. Keutuhan institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi ini diibaratkan seperti cerucuk di dalam sesebuah bangunan yang kukuh. Malah, institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen “Rumahku Syurgaku” diadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang ayah dan ibu.

Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin keimanan remaja agar dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk dan seterusnya mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng pertahanan diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka dan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka.

Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan sehingga akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan golongan remaja tidak akan ditulari sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka harus dibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan. Marilah kita sama-sama mengekang diri daripada terjerumus dalam kancah sosial yang mampu meranapkan harapan bangsa dan negara.

#2 Karangan A1

Industri desa sememangnya tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai potensi yang begitu besar dan penghasilannya juga dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi penduduk dan negara ini.
Ulaskan pernyataan tersebut dan jelaskan cara-cara memajukan industri desa.
[ 100 markah ]

Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri desa yang juga mampu meningkatkan ekonomi negara semakin dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri desa merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang masih menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.

Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu industri yang berperanan penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara keluarga mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka hanya mengisi perut dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan pedalaman diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika industri desa ini dimajukan, maka peluang pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Selain itu, industri desa yang kaya dengan budaya Malaysia yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan juga dapat membantu dalam usaha menarik pelancong asing berkunjung ke negara kita.

Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Industri desa di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika pihak kerajaan dan pihak yang terlibat mengambil inisiatif untuk mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi sokongan dan bantuan kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu melalui suntikan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti supaya industri ini mampu menembusi pasaran dunia sekali gus meningkatkan pendapatan negara kita. Masyarakat kita juga harus mengiktiraf industri desa sebagai satu industri yang mampu memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Industri ini dijangka akan mendatangkan pulangan yang lumayan dalam masa lima tahun jika kerajaan sanggup peruntukan yang lebih besar kepada industri ini.

Di samping itu, konsep jualan hasil industri desa melalui orang tengah harus digantikan dengan konsep jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah diibaratkan enau di dalam belukar melapaskan pucuk masing-masing. Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan menjual hasil industri desa dengan harga yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar. Oleh itu, industri desa haruslah bekerjasama dengan badan kerajaan bagai aur dengan tebing bagi menghidupkan industri desa ini. Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh anak-anak kampung yang berpendidikan supaya mereka berpeluang berbakti kepada tempat kelahiran mereka tanpa perlunya berpindah ke bandar untuk mencari nafkah hidup. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menggalakkan generasi muda masa ini untuk menceburi industri desa supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh pelosok dunia dan Malaysia mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.

Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand yang banyak menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Negara kita haruslah bertukar-tukar pendapat dengan negara yang maju dalam industri desa dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan profesional dalam bidang ini untuk meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita. Selain itu,kita harus pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan negara-negara lain dalam industri desa sebagai rujukan untuk menjayakan industri ini di negara kita sendiri. Industri desa hendaklah ditransformasi kepada pelbagai perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada jenis penghasilan produk yang lebih kreatif dan inovatif untuk menarik hati dan mengagumkan para pembeli. JIka usaha memajukan industri desa dilakukan secara sistematik mengikuti prosedur-prosedur yang disediakan, maka suatu hari nanti industri desa akan mendahului segala industri yang bertaraf antarabangsa.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan sektor swasta untuk memaksimumkan hasil pengeluaran industri desa. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pihak kerajaan untuk menghidupkan industri desa kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kedua-dua pihak ini haruslah berganding bahu untuk memperkenalkan produk tradisional secara komersial kepada dunia luar. Mesin yang lebih canggih harus dibekalkan kepada pengusaha industri desa supaya produk industri desa seperti kraf tangan yang dihasilkan lebih berkualiti. Bekalan produk yang bermutu tinggi sememangnya akan mendapat sambutan yang baik daripada para pembeli di negara kita mahupun pembeli dari negara asing. Penggunaan mesin juga dapat mempercepat proses pengeluaran produk dan meningkatkan kuantiti barangan industri desa yang dihasilkan. Dengan ini, hasil-hasil industri desa dapat dibekalkan kepada pembeli ataupun para pengusaha secara berterusan.

Konklusinya, industri desa sememangnya dapat memberi nafas baharu kepada masyarakat luar bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, pihak yang terbabit harus sentiasa memastikan bahawa penduduk di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan kemudahan yang secukupnya untuk meningkatkan hasil industri desa. Para pengusaha industri ini juga harus melakukan anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri desa di negara kita dapat dimajukan ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia Boleh!

!Kata-kata Mutiara A1 Karangan!

Penggunaan kata-kata mutiara sememangnya dapat memberi satu nafas baharu kepada karangan pelajar sekali gus memberi "impression" yang positif kepada pemeriksa kertas. Perhatikanlah beberapa contoh kata mutiara di bawah ini sebagai pedoman.

Perhatian: PENGUNAAN BAHARU & BARU adalah TIDAK SAMA!

Tun Dr. Mahathir Mohamad
“Ilmu pengetahuan tanpa nilai-nilai yang mulia belum tentu dapat melahirkan masyarakat yang baik dan berjaya. Nilai-nilai yang mulia tanpa ilmu pengetahuan juga tidak akan melahirkan masyarakat yang berjaya”

Tun Dr. Mahathir Mohamad
“...membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya. Menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”

Keris Mas
“Kesalahan aturan bahasa sehingga mengikut aturan bahasa Inggeris bukanlah stail yang menunjukkan ketegasan fikiran, melainkan betapa tidak teraturnya fikiran itu dinyatakan atau betapa keinggerisannya kita berfikir”.

William A.Ward
"Guru yang sederhana memberitahu. Guru yang baik menjelaskan. Guru yang hebat menunjukkan cara. Guru yang agung menjadi inspirasi."

Karl Menninger
"Siapakah guru itu adalah lebih penting daripada apa-apa yang diajarkannya."

Tun Abdul Razak
"Kita juga telah berjaya memberikan satu keperibadian yang sama kepada negara dengan menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal di negara ini dan usaha-usaha masih lagi dicari bagi menjadikan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dengan erti kata yang sebenarnya."

Abdullah Ibnu Abbas
"Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir"

Munsyi Abdullah
”Jika orang Melayu hendak menjadi bangsa yang besar, orang Melayu mesti mempelajari dan memelihara secermat-cermatnya bahasa Melayu, di samping menerima serta menambah pengetahuan baharu.”

SN S. Othman Kelantan
“Peradaban dan tamadun sesuatu bangsa dibina dengan bahasanya sendiri, baik dalam bentuk prosa ataupun dalam bentuk kreatif kerana bahasa menjadi jiwa sesuatu bangsa. Keindahan estetika sebagai emosi kepada jiwa itu ialah karya kreatif”.

Arena Wati
Kita boleh ramah, tapi pantang berkasar. Kita boleh marah, tapi ketawalah, dan jangan kehilangan senyum. Kita pasrah miskin, tapi jauhkan diri dari keinginan mengemis. Orang yang kehilangan wang, cuma rugi benda. Tetapi orang yang kehilangan amanah dia rugi harga diri.

Noordin Hassan
Pasang telinga baik-baik. Jangan dengar saja apa orang kata, fikirkan mengapa orang kata begitu. Kalau orang ketawa, dengar betul-betul jenis ketawanya. Ketawa berisikah atau ketawa jenis apa.

Arena Wati
Menegur dengan bahasa sukma dan bertanya dengan bahasa hati nurani.

Muhammad Salleh
Tiada akan besar bangsa yang tiada kasihkan bahasanya, tiada kebenaran pada manusia yang tidak dapat melihat kenyataan.

Muhammad Salleh
Tiada akan besar bangsa yang tiada kasihkan bahasanya.

Abdullah Hussain
KEMERDEKAAN yang sudah dicapai itu seperti sebuah gelas kosong lalu tiap-tiap golongan itu mahu mengisi gelas itu dengan minuman yang disukainya.

Keris Mas
KEMERDEKAAN hanya suatu jambatan. Yang kita tuju di seberang jambatan itu ialah kehidupan kebangsaan yang mulia, makmur dan aman damai.

Muhammad Salleh
Derita yang dijeritkan tanpa suara ialah bahasa ternyaring bangsa kita.

Muhammad Salleh
Bangsa itu diperibadikan bahasanya.

#1 Karangan A1

Soalan
Kesesakan lalu lintas merupakan satu masalah yang belum dapat diatasi di kota besar seperti Kuala Lumpur walaupun sistem pengangkutan awam di negara ini semakin hari semakin canggih. Huraikan sebab-sebab berlakunya kesesakan lalu lintas yang berkaitan dengan sistem pengangkutan awam.
[ 100 markah ]

Dalam mengharungi arus globalisasi pada masa ini, sistem pengangkutan awam di nusa kita makin hari makin maju dan giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Sehubungan dengan itu, penubuhan syarikat pengangkutan awam di negara kita kian banyak, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam disediakan oleh pihak kerajaan yang berjiwa rakyat untuk penduduk di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya masalah kesesakan lalu lintas seperti teksi, bas, Monorel Kuala Lumpur, Sistem Aliran Ringan (LRT), Komuter dan sebagainya. Walaupun pelbagai jenis pengangkutan disediakan, malangnya, senario kesesakan lalu lintas di nusa kita masih tidak pernah mencapai titik noktah selama ini. Fenomena ini berubah menjadi lebih kronik dan membimbangkan semua pihak terutamanya pada waktu puncak. Masalah ini haruslah dititikberatkan oleh semua pihak dan bersama-samalah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin. Hal yang tidak dapat dinafikan ialah kesesakan dan pengangkutan awam adalah simbiosis. Nescaya, beberapa punca yang menyebabkan kesesakan lalu lintas tetap berlaku saban waktu dalam perjalanan walakin pengangkutan awam disediakan.

Jadual perjalanan yang tidak sistematik merupakan punca utama menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku. Haruslah kita menerima hakikat bahawa jadual perjalanan yang tidak sistematik disebabkan kelemahan pihak pengurusan jadual perjalanan. Hal ini demikian kerana pihak berkenaan tidak memahami keadaan sebenar secara mendalam, mereka menyediakan jadual berdasarkan waktu mereka. Sebagai contohnya, waktu pemandu akan berehat bermula pada pukul satu tengah hari hingga pada pukul dua petang. Waktu rehat mereka merupakan waktu rehat warga kantor dan waktu pelajar pulang dari sekolah. Natijahnya, pelajar yang menaiki bas untuk balik ke rumah atau yang ingin menghadiri kelas tambahan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas. Secara ringkasnya, kesesakan lalu lintas berlaku kerana kesibukan ibu bapa membawa anak-anak mereka balik ke rumah atau menghadiri kelas tuisyen.

Memang yang tidak dapat dinafikan, tambang yang mahal juga menjadi salah satu faktor kesesakan lalu lintas berlaku. Hal ini demikian kerana kenaikan harga minyak yang disebabkan peningkatan permintaan dalam pasaran dunia dan kejatuhan nilai Dolar Amerika telah menjejaskan taraf hidup dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa minyak petrol akan dinaikkan lagi jika kerajaan tidak mampu menanggung subsidi harga petrol. Jumlah kenaikan harga minyak sebanyak beberapa kali ini telah meningkatkan beban hidup masyarakat. Penataran ini menyebabkan penumpang terpaksa menanggung lagi kos kehidupan yang lebih tinggi. Selain itu, beban ibu bapa juga akan dipertingkatkan kerana sesetengah pelajar menaiki bas ke sekolah atau menghadiri kelas tuisyen. Oleh sebab terpaksa menanggung kos tambang yang tinggi, masyarakat sanggup berkereta sendiri supaya dapat mengurangkan kos perbelanjaan bulanan. Natijahnya, kesesakan lalu lintas terus berlaku.


Tambahan pula, bilangan bas dan teksi yang tidak cukup juga merupakan satu sebab yang sukar dinafikan. Tidaklah menghairankan jika peruntukan belanjawan kerajaan dikatakan kurang untuk kemudahan awam kerana kerajaan lebih mengutamakan pembangunan fizikal negara berbanding dengan meningkatkan kebajikan masyarakat. Hal ini juga disebabkan oleh hanya beberapa bas syarikat yang ditubuhkan seperti Transnasional, Metro, Intrakota dan sebagainya. Dengan itu, bas awam tidak menjadi pilihan utama penumpang dari suatu destinasi ke suatu destinasi yang berdekatan atau sebaliknya. Fenomena ini berlaku kerana golongan muda pada zaman ini tidak mahu membazir masa dengan setakat untuk menunggu ketibaan bas ke suatu tempat Mereka berpendapat bahawa “masa itu emas”. Oleh hal yang demikian, mereka rela memandu sendiri. Impaknya, masalah kesesakan lalu lintas terus membengkak dalam arus pembangunan negara.

Satu lagi punca berlakunya kesesakan lalu lintas ialah perkhidmatan yang kurang berkualiti dan kurang efisien. Pengangkutan awam tidak menjadi pilihan utama generasi kini merupakan perkara yang lumrah. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir pemandu teksi dan bas yang biadab terhadap penumpang. Di samping itu, kebanyakan bas berada dalam keadaan yang kotor, panas, busuk, dan kurang selesa. Misalnya, pemandu bas tidak menghormati penumpang dengan memarahi mereka mahupun warga tua hanya kerana mereka membawa makanan ke dalam bas, tertekan loceng di destinasi yang salah dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, pengguna berasa tidak puas hati terhadap pemandu bas. Hal ini juga menyebabkan pengguna tidak yakin akan perkhidmatan pengangkutan awam. Justifikasinya, pengguna terpaksa memiliki kenderaan sendiri. Impak daripada hal ini menyebabkan kesesakan lalu lintas kian hari kian serius.

Pembinaan stesen di lokasi yang tidak strategik juga satu punca yang sukar dinafikan. Hal ini disebabkan kawasan pembinaan stesen Komuter amat jauh dari pusat bandar utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara, Ampang, Cheras dan sebagainya. Pembinaan stesen Komuter di kawasan yang jauh malam di dalam hutan menyebabkan pengguna berasa sukar untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan di stesen Komuter. Senario ini membuktikan bahawa pengangkutan awam yang disediakan tidak memberi kemudahan secara langsung kepada pengguna. Pengguna terpaksa menukar stesen dari satu stesen ke suatu stesen, Namun begitu, pengguna juga sukar mendapat pengangkutan perantara dari stesen Komuter ke destinasi yang hendak dituju. Untuk menjimatkan masa dan wang untuk bertukar stesen dari satu stesen, pengguna lebih rela menggunakan kenderaan sendiri. Habis, kesesakan lalu lintas di nusa kita terus berlaku dan tidak pernah diselesaikan.

Secara tuntas, walaupun negara kita canggih dalam bidang sains dan teknologi, pelbagai jenis pengangkutan awam giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, senario kesesakan lalu lintas tidak dapat berjaya dibendung selama ini khasnya di bandar-bandar utama pada waktu bekerja. Hal ini telah membebankan rakyat dari pelbagai segi seperti masa dibazirkan pada waktu kesesakan, kelewatan menguruskan urusan yang penting. Daripada membiarkan masalah ini kronik, pelbagai langkah yang efisien dan praktikal harus diambil dengan serta merta. Oleh itu, kerajaan haruslah sensitif terhadap isu-isu kesesakan dan mengambil tindakan dengan bijak menggunakan peruntukan supaya lalu lintas dilancarkan semula.